Sejarah

Protestant Church in Sabah (PCS) bermula dengan pelayanan Basel Mission dalam kalangan suku Momogun Rungus di Kudat pada tahun 1952. Pada masa itu gereja BCCM yang dikenali sebagai Gereja Cina Basel Fui sudah lebih awal bertapak di Sabah, khususnya di daerah Kudat yang dimulakan oleh masyarakat Kristian Cina Hakha yang sudah menetap di Sabah sejak migrasi pertama pada tahun 1880.  Basel Mission menghantar Pdt. Hanz Beinz sebagai missionari untuk membantu pelayanan Basel Fui pada tahun 1950. Kedatangan Pdt. Hanz Beinz merupakan permulaan pelayanan kepada suku-suku bumiputera di utara Sabah. Dalam tempoh masa yang agak panjang, memandangkan suku Momogun Rungus masih jauh ketinggalan dari segi sosial, ekonomi dan pendidikan di samping memerlukan bimbingan awal kerana kebanyakannya masih lagi mengamalkan kepercayaan lama, Basel Mission berpendapat bahawa perlunya sebuah gereja khusus yang melayani suku Momogun Rungus. Maka, PCS ditubuhkan dengan rasminya pada tahun 1966 dan berdaftar sebagai pertubuhan yang sah dengan kerajaan negeri Sabah pada tahun 1967.

Basel Mission melalui Pdt. Hanz Beinz telah mula memperkenalkan Injil yang disebut sebagai ‘Habal Kovosihan’ (Berita Baik) dalam kalangan suku Momogun Rungus setelah Pegawai Daerah pada masa itu menyebut ‘bangsa ini tidak bertamadun’. Pdt. Hanz Beinz telah membawa Wong Kiam Fuk iaitu ketua gereja Basel Fui di Sikuati untuk melawat rumah-rumah panjang masyarakat Rungus di sekitar Sikuati dan berjumpa dengan ketua-ketua kampung. Bahasa merupakan satu halangan yang besar tetapi Pdt. Hanz Beinz menggunakan lukisan dan Wong Kiam Fuk menyampaikan terjemahan dari maksud lukisan tersebut kepada perkumpulan orang-orang Rungus di rumah panjang. Pelayanan ini menjadi luas lalu mendorong Pdt. Hanz Beinz untuk menghantar surat kepada Basel Mission supaya menghantar lebih ramai tenaga missionari bagi membantu dalam penginjilan dan penterjemahan Alkitab ke dalam bahasa Rungus.

Tarikh 24 Disember 1952 merupakan hari bersejarah dalam PCS dan telah diisytiharkan sebagai tarikh kelahiran PCS apabila pembaptisan pertamadibuat di rumah panjang Kampung Masangkong. Keluarga pertama yang dibaptis ialah keluarga Tuorong Sobunal dan isteri beliau bernama Setia, anak-anak beliau seperti Majimil dan isterinya Sinundihi, dan Nupia dan Masiun. Keluarga inilah yang disebut sebagai pemula iman PCS dan Majimil Tuorong yang masih hidup sehingga kini dipanggil sebagai Bapa PCS kerana beliaulah yang pertama menjadi kristian dan membawa seiisi keluarga Tuorong menjadi Kristian.

Pelayanan PCS yang dilakukan oleh para missionary Basel Misision bermula dengan pendidikan literasi huruf di Sikuati pada tahun 1956, kursus penginjil pada tahun 1962, penubuhan sekolah misi di Lajong, Tinangol dan Lodung pada tahun 1964 dan Sekolah Rumah Tangga yang mengajar secara khusus tentang hal-hal rumah tangga dibuka di Tinangol pada tahun 1967. Untuk kesihatan pula, Basel Mission telah membuka Klinik Tinangol pada tahun 1964, Klinik Pantai pada tahun 1965 dan Klinik Dandun pada tahun 1967. Dalam memenuhi keperluan pendidikan dan tempat tinggal anak-anak untuk bersekolah, Pelayanan Asrama PCS telah ditubuhkan dan PCS telah membuka asrama-asrama di Kudat, Sikuati, Kota Marudu dan Pitas.

Pendidikan Alkitab merupakan fokus utama dalam pelayanan awal PCS. Sekolah Alkitab Tinangol (SAT) telah ditubuhkan pada tahun 1956 dan kini pusat ini dikenali sebagai Luther Seminary PCS. Pada awal penubuhannya, pelajaran Alkitab diadakan dalam kelas-kelas yang kecil pada waktu pagi dan pada sebelah petangnya diadakan pula kelas pertukangan kayu dan pertanian. Pusat ini berpindah dari Sikuati ke Bavanggazo, Tinangol. SAT pernah ditutup pada tahun 1972-1973 apabila semua missionary Basel Mission dihalau keluar oleh kerajaan USNO di Sabah. Pada ketika itu pembelajaran Alkitab masih diteruskan melalui sebuah kerjasama komiti PCS dan BCCM dengan tenaga pengajar seperti Pdt. Poong Shong Khon, Pdt. Datuk Thu En Yu dan Pdt. Tong Far Dong sehingga tahun 1974. SAT akhirnya dibuka semula pada tahun 1976. Kini SAT yang dikenali sebagai Luther Seminary PCS (LS) menawarkan kursus untuk sijil selama dua tahun dan diploma selama tiga tahun. Hampir 90% pastor dan pendeta PCS merupakan alumni daripada pelayanan ini.

Kini, PCS mempunyai lebih daripada 40 orang anggota dan 321 buah gereja di seluruh Malaysia. Selain suku Momogun Rungus, gereja PCS juga dianggotai oleh pelbagai suku bumiputera di utara Sabah seperti suku Momogun Kimaragang, Tobilung, Tombonuo, Dusun, Bonggi, sino dan lain-lain lagi. Memfokuskan kepada pelayanan masa kini, sesuai dengan apa-apa yang telah dimulakan oleh para missionari yang lalu, terdapat 120 orang pelayan penggembalaan (pastoral), Pelayanan Kanak-Kanak, Pelayanan Wanita, Belia, Luther Seminary, Pusat Pembangunan Wanita, sekolah misidan Tadika PCS sebanyak 21 buah. Pada tahun ini PCS sudah menjangkau umur yang ke-68 dan telah melalui tujuh orang Presiden.

Leave a Comment

Your email address will not be published.